Pokok Belingai |
Buah Belingai atau nama botaninya Limonia Acidissima L. berada dalam keluarga Rutaceae. Buah ini tumbuh semulajadi di India, Sri Langka, Myanmar dan Kemboja. Ia turut ditanam di Malaysia, Indonesia, dan negara tropika yang lain. Pokoknya kecil dengan 12m ketinggian, banyak dahan kecil berduri lurus, tajam dan panjang sehingga 4cm.
Buah Belingai |
Buahnya jenis beri bebola dengan kulit yang keras dan ukuran garis pusat 10cm. Isinya berwarna merah jambu, wangi dan bijinya kecil serta banyak. Buahnya mengandungi pektin iaitu sejenis serabut larut yang membantu mengurangkan kolesterol dalam darah terutama kolesterol jenis LDL. Kandungan asid sitriknya mempunyai sifat antioksidan dan mempunyai kesan antitumor.
Daunnya jenis majmuk, 5-7 anak daun setiap satu daun. Panjang daunnya adalah 12cm manakala panjang anak daun adalah sehingga 4cm. Bunganya pula adalah jenis dwijantina dan adakalanya bunga jantan sahaja. Terdapat lima kelopak kaliks dan korola berwarna putih, hijau atau unggu merah. Bunganya dalam jambak pada ketiak daun dan hujung ranting.
Buah masaknya dipotong atau diketuk untuk memecahkan kulit buah yang keras. Isinya boleh dimakan terus atau digaul bersama sedikit gula pasir, gula melaka atau santan kelapa. Isinya juga boleh dibuat manisan dalam bentuk krim manis, jeli dan acar.